ARKIB : 15/04/2000
PERENANG negara, Siow Yi-Ting
dari Negeri Sembilan beraksi sebelum memenangi acara 200 meter kuak dada pada
Kejohanan Akuatik Remaja Malaysia di Kompleks Renang Kuala Lumpur, Cheras,
semalam. Dia mencatat rekod baru kejohanan 2:39.10s. - Gambar ASWAD YAHYA
PERENANG remaja negara, Siow
Yi-Ting tidak pernah menduga berpeluang beraksi pada Sukan Olimpik, temasya
terbesar dunia seawal usia 14 tahun.
Pelajar tingkatan tiga Sekolah
Sukan Bukit Jalil itu menempah tiket ke Sukan Olimpik Sydney setelah melepasi
masa kelayakan acara 100 meter dan 200 meter kuak dada pada Kejohanan Renang Asia
di Pusan 28 Mac hingga 3 April lalu.
Perenang kelahiran Negeri
Sembilan itu turut memperbaharui rekod kebangsaan acara 200 meter kuak dada
yang dipegang oleh Tay Li Leng dengan catatan dua minit 35.10 saat, lima saat
lebih pantas catatan terdahulu.
''Saya tidak menyangka akan
melepasi masa kelayakan ke Sukan Olimpik tahun ini.
''Ini merupakan peluang
keemasan dan saya mahu menggunakannya untuk meraih pengalaman serta
memperbaharui catatan masa sekarang,'' katanya ketika ditemui di Kejohanan
Akuatik Remaja Malaysia 2000 di Kompleks Renang Kuala Lumpur, Cheras, semalam.
Yi-Ting akan ditemani rakan
sepasukan, Sia Wai Yen yang turut melayakkan diri dalam acara 400 meter
rampaian individu.
Seperti Yi-Ting, Wai Yen turut
melayakkan diri selepas beraksi pada Kejohanan Renang Asia dan mencatat masa
4:52s dalam acara tersebut.
''Saya akan menggunakan
pengalaman beraksi di Sukan Komanwel untuk memberi yang terbaik di Sydney
nanti.
''Sasaran saya adalah untuk
memperbaiki catatan sekarang dan berusaha melayakkan diri ke separuh akhir,''
kata Wai Yen yang merupakan salah seorang perenang negara semasa temasya
tersebut.
Perenang berusia 16 tahun itu
juga memperbaharui rekod kebangsaan acara 200 meter kuak lentang berusia 11
tahun yang dipegang oleh bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah.
Anak bongsu daripada dua
adik-beradik itu mencatat 2:23.46s pada Kejohanan Renang Asia mengatasi rekod
lama 2:23.64s.
Selain daripada dua perenang
wanita ini, enam lagi perenang lelaki negara turut melepasi masa kelayakan ke
temasya tersebut.
Sementara itu, sebanyak 11
rekod baru kejohanan telah dicipta pada hari pertama Kejohanan Akuatik Remaja
Malaysia, semalam.
Teo Mui Nyee memperbaharui rekod
acara 200 meter gaya bebas bawah 18 tahun yang dicatatkan oleh Ow Ying Jie
tahun lalu dengan masa 2:12.50s, mengatasi catatan terdahulu, 2:12.70s.
Bagi kategori bawah 15 tahun,
Jessica Wong dan Elise Kho masing-masing memperbaharui rekod acara 100 meter
kuak lentang dan 200 meter gaya bebas.
Jassica mencatat 1:16.48s, 0.19
saat lebih pantas daripada masa yang dibuat oleh Chew Lee Sang pada 1994,
sementara Elise mencipta 2:16.13s mengatasi rekod Kimberley Yap 2:19.61s yang
dicatat dua tahun lalu.
Perenang muda Sarawak, Daniel
Bugo pula memperbaharui rekod 100 meter gaya bebas kategori bawah 10 tahun
setelah mencatat 1:04.51s, mengatasi masa 1:05.66s yang dicatatkan oleh Timothy
Poh.
Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TGvrjzFd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan