Khamis, 22 Disember 2016

Wai Yen sapu emas pecah tiga rekod -- RENANG


 

RKIB : 30/05/2000
Wai Yen sapu emas pecah tiga rekod -- RENANG
KEJAYAAN... Perenang kebangsaan, Jacquelyn Yvonne Chan memastikan Sarawak mengutip emas pertama renang apabila memenangi acara renang berirama kategori solo pada Sukan Malaysia (Sukma ke-8) di Pulau Pinang, semalam.
Dia memberi aksi cemerlang untuk mengumpul mata tinggi 8.539 mata menerusi acara teknikal dan rutin bebas, mengatasi lima pencabar lain.
* JACQUELYN (tengah) diapit oleh pemenang pingat perak, Suzanna Ghazali Bujang dari Selangor (kiri) dan Irene Wong Mei Jin dari Sarawak di Pusat Akuatik PISA, Pulau Pinang, semalam.

PERENANG kebangsaan, Sia Wai Yen menggegarkan kolam renang di Pusat Akuatik Relau apabila memecahkan tiga rekod Sukan Malaysia (Sukma) semalam.

Kejayaan perenang berusia 16 tahun dari Kuala Lumpur itu sekali gus menyapu bersih ketiga-tiga pingat emas yang dipertandingkan pada hari pertama dalam bahagian wanita untuk pasukannya, Kuala Lumpur.

Emas pertama Wai Yen dikutip dalam acara 200 meter rampaian perseorangan apabila mencatat masa 2 minit 22.45 saat menewaskan pemegang rekod lama (2:25.04s) dari Selangor, Marilyn Chua di tempat kedua dan Siow Yi Ting dari Negeri Sembilan di tempat ketiga.

Malangnya beliau gagal memecahkan rekod kebangsaan yang diciptanya sendiri di Sukan Sea Brunei tahun lalu iaitu 2:20.64s.

Pingat emas kedua Wai Yen diraih dalam acara 200 meter gaya lentang dengan catatan masa 2:24.94s menewaskan Ow Ying Jie dan Khoo Cai Lian, kedua-duanya dari Selangor di tempat kedua dan ketiga. Rekod lama ialah 2:26.61s.

Rekod kebangsaan acara ini turut dipegang oleh Wai Yen iaitu 2:23.45s yang diciptanya ketika beraksi di Pusan, Korea Selatan pada bulan Mac yang lalu.

Emas ketiga diraihnya dalam acara 400 meter gaya bebas dengan catatan masa 4:26.85s menewaskan rakan sepasukan, Teo Mui Nyee di tempat kedua dan Ow Ying Jie dari Selangor di tempat ketiga. Rekod lama ialah 4:34.49s.

Dalam bahagian lelaki, Perak menguasai dua daripada tiga pingat emas yang dipertandingkan menerusi Allen Ong dan Wong Tuck Kar.

Allen menang dalam acara 200 meter rampaian perseorangan dengan mencatat rekod baru Sukma, 2:08.17s menewaskan perenang Sarawak Die Ung di tempat kedua dan Lee Kuan Yean dari Selangor di tempat ketiga. Rekod lama ialah 2:10.53s.

Wong Tuck Kar pula menjuarai acara 200 meter gaya lentang dengan catatan masa 2:17.25s meninggalkan perenang Sabah, Jimmy Wong di tempat kedua dan Luke Teck dari Sarawak di tempat ketiga.

Die Ung pula menebus kekecewaan apabila menjuarai acara 400 meter gaya bebas dengan catatan masa 4:05.90s yang merupakan rekod baru Sukma. Rekod lama ialah 2:06.84s yag dipegangnya sendiri.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4TaF3BlAc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan