Ahad, 26 November 2017

Chai Lin bantu Selangor saingi Sarawak

ARKIB : 31/05/2008
 
PENERJUN Sarawak, Gracie Junita melakukan latihan terjun di Kompleks Renang MBKT, Batu Buruk, Terengganu menjelang kejohanan Sukma XII Terengganu 2008, semalam.

KUALA TERENGGANU - Perenang wanita negara yang telah layak ke Olimpik Beijing, Koo Chai Lin mahu membantu pasukannya, Selangor menyaingi Sarawak dalam perebutan pingat di kolam renang pada temasya Sukan Malaysia Ke-12 (Sukma XII) kali ini, lapor SAYED HESHAM IDRIS.

Menurutnya, dia menaruh harapan agar dua pingat emas yang disasarnya dalam acara 400 dan 800 meter gaya bebas pada kejohanan kali ini dapat membantu Selangor memberi cabaran ke atas Sarawak dari segi kutipan pingat keseluruhan.

Katanya, kedua-dua negeri tersebut merupakan kuasa sukan renang dan berharap Selangor akan memenanginya pada saingan kejohanan kali ini.

''Ya saya mahu membantu pasukan negeri saya Selangor mencabar penguasaan Sarawak yang sememangnya dikenali sebagai satu pasukan yang handal dalam sukan renang.

''Untuk itu saya menaruh keyakinan untuk memenangi pingat emas dalam kedua-dua acara yang saya sertai supaya ia dapat menambah pingat emas keseluruhan untuk Selangor," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Kompleks Renang Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu di sini, semalam.

Menurut Olimpian Negara 2007 itu, dia sama sekali tidak memandang rendah kejohanan Sukma walaupun sudah layak ke Olimpik.

Sebaliknya Chai Lin tetap menganggap Sukma ini penting sebagai persediaan sebelum beraksi di Olimpik Beijing, Ogos depan.

Jelasnya, walaupun menjangkakan tidak akan disaingi dalam kedua-dua acara, dia tetap menjalani persediaan rapi.

''Saya menyertai Sukma atas kehendak sendiri, tanpa paksaan daripada sesiapa kerana bagi saya kejohanan ini penting sebagai persediaan menjelang sukan Olimpik.

''Saya menganggap Sukma ini sebagai latihan sebelum ke Beijing dan tetap akan memberikan aksi terbaik bukan sahaja demi pasukan, tetapi untuk mengekalkan prestasi.

''Saya yakin mudah memenangi kedua-dua acara dan berharap rakan sepasukan yang lain juga menang supaya Selangor dapat menguasai sukan renang di Sukma kali ini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zWsBXZWY

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan