Sabtu, 21 Oktober 2017

Cai Lin buru masa di Beijing




Oleh YASMIN RAMAN
KHOO CAI LIN tidak mengharapkan pingat pada Sukan Olimpik Beijing.

PERENANG negara, Khoo Cai Lin meng- alih sasarannya selepas menyedari saingan untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik di Beijing, China, Ogos ini memang sukar.

Impiannya hanyalah untuk memperbaiki catatan peribadinya dan jika berjaya merealisasikannya, ia sudah dianggap satu kejayaan.
Advertisement

Sukan Olimpik menampil ramai perenang bertaraf dunia dan sudah pasti misi untuk memburu pingat adalah sesuatu yang sukar.

“Saya mahu menumpukan kepada sasaran untuk memperbaiki catatan peribadi dalam dua acara kegemaran saya iaitu acara 400 dan 800 meter gaya bebas,” kata jaguh renang negara itu.

Menurutnya, dia akan melipatkangandakan usaha bagi mencapai hajat tersebut.

Bagi Cai Lin, kejayaan meraih dua pingat emas pada Sukan SEA XXIV di Korat, Thailand baru-baru ini bukanlah jaminan untuk memenangi pingat pada temasya Sukan Olimpik kerana catatannya itu masih terlalu jauh berbanding catatan yang dilakukan oleh jaguh dunia yang lain.

“Walaupun saya berjaya mencipta rekod baru kebangsaan dalam 800m gaya bebas, ia bukan suatu yang mudah bagi saya.

“Sekarang, saya perlu melipatgandakan usaha bagi mencatat masa yang lebih pantas dalam dua acara kegemaran saya ini,” kata Cai Lin yang memadamkan rekod kebangsaan milik Nurul Huda Abdul- lah pada tahun 1988 dalam dua acara tersebut.

Cai Lin memperbaharui rekod Sukan SEA dalam acara 400m gaya bebas wanita dengan catatan 4 minit 18.20 saat untuk mengatasi rekod perenang Thailand, P. Tachakittiranan (4:19.13 saat) yang dilakukan pada temasya yang sama di Brunei pada 1999.

Dalam acara 800m gaya bebas, dia mencatatkan masa 8:47.80s bagi mengatasi rekod perenang Thailand, Intanporn-Udom R (8:56.88s) pada temasya 1997 di Jakarta.

Bagi memastikan impiannya di Olimpik kelak menjadi kenyataan, Cai Lin kini membatalkan hasratnya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat bagi membolehkannya memberi tumpuan seratus peratus terhadap latihan.

“Saya sudah kembali menjalani latihan sejak dua minggu lalu dan yang pasti tumpuan diberikan kepada usaha mengekalkan tahap kecergasan dan teknik renangan.

“Bagi saya, memang banyak yang diimpikan. Nak menang pingat pada Sukan Olimpik pun ada selain berjaya dalam bidang akademik,” jelasnya.

Mengimbas pembabitan awalnya dalam sukan renang, gadis berusia 20 tahun itu berkata, minatnya terhadap sukan tersebut bermula sejak dia berusia lima tahun apabila doktor menasihatkan kakaknya yang menghidap asma supaya berenang.

“Saya belajar berenang ketika umur saya tiga tahun dan mula berlatih pada usia lima tahun kerana mengikuti kakak kerana disuruh kerap berenang atas nasihat doktor gara-gara penyakit asmanya itu.

“Mulai saat itu, minat saya terhadap sukan renang semakin bertambah dan akhirnya turut mendapat dorongan dari- pada keluarganya,” katanya yang mula serius ketika usianya menjangkau 14 tahun.

Menurut Cai Lin, ibunya, Felicia Tai, 56, adalah orang yang paling banyak memberi dorongan dan sokongan untuknya mencapai kejayaan.

Cai Lin mula melakar kejayaan di pentas Sukan SEA pada tahun 2003 apabila meraih pingat gangsa dalam acara 800m gaya bebas pada temasya di Vietnam itu.

Ia merupakan penampilan pertamanya pada temasya dwitahunan itu.

Selepas itu, bakatnya terus terserlah, lebih-lebih lagi apabila diserapkan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Ketika di SSBJ, dia mendapat bimbi- ngan yang lebih sistematik daripada juru- latih profesional dan yang pasti banyak perubahan dialaminya.

“Di SSBJ, saya mendapat bimbingan jurulatih dari Rusia, Vlad yang banyak memberikan petua untuk beraksi dengan lebih baik,” ujarnya.

Selepas Sukan SEA di Vietnam, Cai Lin sekali lagi disenarai untuk beraksi pada Sukan SEA 2005 di Manila.

Begitupun, penampilan keduanya pada temasya dwitahunan itu tidak membawa sebarang kejayaan apabila dia gagal meraih pingat akibat diserang demam panas.

“Ia merupakan kenangan pahit bagi saya dan saya memang sangat kecewa ketika itu.

“Saya telah menjalani latihan yang cukup serius, tetapi pada saat-saat akhir kena demam.

“Sejak saat itu, saya tanamkan azam untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mengharumkan nama negara dan pada masa yang sama menjaga tahap kesihatan diri,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4w81o6DhV
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan