\
PANDELELA
BERNAMA
Petaling Jaya: Ratu terjun
negara Pandelela Rinong Pamg mahu berehat seketika untuk kembali memberi
tumpuan terhadap pelajarannya yang sebelum ini tertangguh kerana Sukan Olimpik
Rio de Janeiro, Brazil.
Menurut Pandelela, sudah tiba
masa untuknya memberi fokus terhadap pelajaran selepas berakhirnya Sukan
Olimpik.
“Sebelum ini saya pernah
berjanji kepada keluarga untuk tidak mengenepikan pelajaran. Jadi selepas
berakhirnya Olimpik Rio, sudah masanya untuk fokus kepada pelajaran,” katanya
kepada pemberita selepas majlis meraikan wira dan wirati Olimpik negara oleh
XOX Mobile di sini, semalam.
Pandelela juga dikatakan tidak
akan beraksi dalam beberapa pertandingan yang bakal diadakan dalam masa
terdekat, antaranya Kejohanan Siri Grand Prix Terjun FINA di Kuching, Sarawak
pada Oktober ini.
Dia yang berganding dengan
Cheong Jun Hoong untuk memenangi perak acara 10m platform seirama di Rio,
mengambil jurusan Sains Sukan di Universiti Malaya dan berazam menamatkan
pengajiannya pada 2018.
Sementara itu, pasangannya Jun
Hoong pula ingin berehat untuk memulihkan kecederaannya.
“Saya ingin merehatkan badan
kerana mengalami kecederaan. Walaupun tidak begitu serius, ia penting sebelum
memulakan latihan,” katanya.
Jun Hoong mengakui memegang
status sebagai pemenang perak di Rio tidak memberikan apa-apa kelebihan
kepadanya pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo nanti.
“Olimpik Tokyo adalah kejohanan
baharu kerana setiap pertandingan bakal mempunyai cabaran dan halangan
berlainan,” katanya.
- BERNAMA
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:12 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan