Selasa, 27 Disember 2016

Tak mahu sia-sia

 Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Masih terkejut menerima perkhabaran ditaja Malaysia Airlines Berhad (MAB), atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya.

Tajaan selama empat tahun itu bermula tahun ini hingga temasya Olimpik Tokyo 2020 itu memberi suntikan semangat buatnya mengejar pingat pada temasya terbesar dunia itu.


Dhabitah yang akan berlepas ke China untuk menjalani latihan berkata, tajaan MAB itu membuatkannya bertekad membuktikan kemampuan supaya kepercayaan yang diberi tidak disia-siakan.

“Tajaan ini memberi inspirasi kepada saya melakar lebih banyak kejayaan. Saya mahu buat lebih baik lagi supaya tajaan yang diberikan ini tidak sia-sia,” katanya yang dijadualkan beraksi pada siri Grand Prix Dunia dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Terdahulu MAB mengumumkan penajaan bagi tempoh empat tahun buat atlet terjun Olimpik negara, Pandelela Rinong dan Dhabitah.

Penajaan empat tahun itu meliputi tiket penerbangan pergi balik untuk kelas bisnes dalam rangkaian perkhidmatan di Malaysia, tajaan kewangan bagi program latihan dan perjalanan mereka ke Olimpik Tokyo 2020.

Dhabitah yang julung kali beraksi di Olimpik mara ke pusingan akhir 10m platform individu dan menamatkan saingan di tangga kesembilan.

Dia yang bergandingan dengan Cheong Jun Hoong menamatkan saingan di tempat kelima dalam acara 3m papan anjal seirama.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 8:53 AM

Ahad, 25 Disember 2016

Pandelela mahu fokus pelajaran

\
PANDELELA

BERNAMA
Petaling Jaya: Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg mahu berehat seketika untuk kembali memberi tumpuan terhadap pelajarannya yang sebelum ini tertangguh kerana Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil.

Menurut Pandelela, sudah tiba masa untuknya memberi fokus terhadap pelajaran selepas berakhirnya Sukan Olimpik.

“Sebelum ini saya pernah berjanji kepada keluarga untuk tidak mengenepikan pelajaran. Jadi selepas berakhirnya Olimpik Rio, sudah masanya untuk fokus kepada pelajaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan wira dan wirati Olimpik negara oleh XOX Mobile di sini, semalam.


Pandelela juga dikatakan tidak akan beraksi dalam beberapa pertandingan yang bakal diadakan dalam masa terdekat, antaranya Kejohanan Siri Grand Prix Terjun FINA di Kuching, Sarawak pada Oktober ini.

Dia yang berganding dengan Cheong Jun Hoong untuk memenangi perak acara 10m platform seirama di Rio, mengambil jurusan Sains Sukan di Universiti Malaya dan berazam menamatkan pengajiannya pada 2018.

Sementara itu, pasangannya Jun Hoong pula ingin berehat untuk memulihkan kecederaannya.

“Saya ingin merehatkan badan kerana mengalami kecederaan. Walaupun tidak begitu serius, ia penting sebelum memulakan latihan,” katanya.

Jun Hoong mengakui memegang status sebagai pemenang perak di Rio tidak memberikan apa-apa kelebihan kepadanya pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo nanti.

“Olimpik Tokyo adalah kejohanan baharu kerana setiap pertandingan bakal mempunyai cabaran dan halangan berlainan,” katanya.
- BERNAMA

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:12 AM

Khamis, 22 Disember 2016

Wai Yen sapu emas pecah tiga rekod -- RENANG


 

RKIB : 30/05/2000
Wai Yen sapu emas pecah tiga rekod -- RENANG
KEJAYAAN... Perenang kebangsaan, Jacquelyn Yvonne Chan memastikan Sarawak mengutip emas pertama renang apabila memenangi acara renang berirama kategori solo pada Sukan Malaysia (Sukma ke-8) di Pulau Pinang, semalam.
Dia memberi aksi cemerlang untuk mengumpul mata tinggi 8.539 mata menerusi acara teknikal dan rutin bebas, mengatasi lima pencabar lain.
* JACQUELYN (tengah) diapit oleh pemenang pingat perak, Suzanna Ghazali Bujang dari Selangor (kiri) dan Irene Wong Mei Jin dari Sarawak di Pusat Akuatik PISA, Pulau Pinang, semalam.

PERENANG kebangsaan, Sia Wai Yen menggegarkan kolam renang di Pusat Akuatik Relau apabila memecahkan tiga rekod Sukan Malaysia (Sukma) semalam.

Kejayaan perenang berusia 16 tahun dari Kuala Lumpur itu sekali gus menyapu bersih ketiga-tiga pingat emas yang dipertandingkan pada hari pertama dalam bahagian wanita untuk pasukannya, Kuala Lumpur.

Emas pertama Wai Yen dikutip dalam acara 200 meter rampaian perseorangan apabila mencatat masa 2 minit 22.45 saat menewaskan pemegang rekod lama (2:25.04s) dari Selangor, Marilyn Chua di tempat kedua dan Siow Yi Ting dari Negeri Sembilan di tempat ketiga.

Malangnya beliau gagal memecahkan rekod kebangsaan yang diciptanya sendiri di Sukan Sea Brunei tahun lalu iaitu 2:20.64s.

Pingat emas kedua Wai Yen diraih dalam acara 200 meter gaya lentang dengan catatan masa 2:24.94s menewaskan Ow Ying Jie dan Khoo Cai Lian, kedua-duanya dari Selangor di tempat kedua dan ketiga. Rekod lama ialah 2:26.61s.

Rekod kebangsaan acara ini turut dipegang oleh Wai Yen iaitu 2:23.45s yang diciptanya ketika beraksi di Pusan, Korea Selatan pada bulan Mac yang lalu.

Emas ketiga diraihnya dalam acara 400 meter gaya bebas dengan catatan masa 4:26.85s menewaskan rakan sepasukan, Teo Mui Nyee di tempat kedua dan Ow Ying Jie dari Selangor di tempat ketiga. Rekod lama ialah 4:34.49s.

Dalam bahagian lelaki, Perak menguasai dua daripada tiga pingat emas yang dipertandingkan menerusi Allen Ong dan Wong Tuck Kar.

Allen menang dalam acara 200 meter rampaian perseorangan dengan mencatat rekod baru Sukma, 2:08.17s menewaskan perenang Sarawak Die Ung di tempat kedua dan Lee Kuan Yean dari Selangor di tempat ketiga. Rekod lama ialah 2:10.53s.

Wong Tuck Kar pula menjuarai acara 200 meter gaya lentang dengan catatan masa 2:17.25s meninggalkan perenang Sabah, Jimmy Wong di tempat kedua dan Luke Teck dari Sarawak di tempat ketiga.

Die Ung pula menebus kekecewaan apabila menjuarai acara 400 meter gaya bebas dengan catatan masa 4:05.90s yang merupakan rekod baru Sukma. Rekod lama ialah 2:06.84s yag dipegangnya sendiri.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4TaF3BlAc © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 19 Disember 2016

Yi-Ting mahu menyerlah di Sukan Olimpik


 

ARKIB : 15/04/2000
PERENANG negara, Siow Yi-Ting dari Negeri Sembilan beraksi sebelum memenangi acara 200 meter kuak dada pada Kejohanan Akuatik Remaja Malaysia di Kompleks Renang Kuala Lumpur, Cheras, semalam. Dia mencatat rekod baru kejohanan 2:39.10s. - Gambar ASWAD YAHYA

PERENANG remaja negara, Siow Yi-Ting tidak pernah menduga berpeluang beraksi pada Sukan Olimpik, temasya terbesar dunia seawal usia 14 tahun.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Sukan Bukit Jalil itu menempah tiket ke Sukan Olimpik Sydney setelah melepasi masa kelayakan acara 100 meter dan 200 meter kuak dada pada Kejohanan Renang Asia di Pusan 28 Mac hingga 3 April lalu.

Perenang kelahiran Negeri Sembilan itu turut memperbaharui rekod kebangsaan acara 200 meter kuak dada yang dipegang oleh Tay Li Leng dengan catatan dua minit 35.10 saat, lima saat lebih pantas catatan terdahulu.

''Saya tidak menyangka akan melepasi masa kelayakan ke Sukan Olimpik tahun ini.

''Ini merupakan peluang keemasan dan saya mahu menggunakannya untuk meraih pengalaman serta memperbaharui catatan masa sekarang,'' katanya ketika ditemui di Kejohanan Akuatik Remaja Malaysia 2000 di Kompleks Renang Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Yi-Ting akan ditemani rakan sepasukan, Sia Wai Yen yang turut melayakkan diri dalam acara 400 meter rampaian individu.

Seperti Yi-Ting, Wai Yen turut melayakkan diri selepas beraksi pada Kejohanan Renang Asia dan mencatat masa 4:52s dalam acara tersebut.

''Saya akan menggunakan pengalaman beraksi di Sukan Komanwel untuk memberi yang terbaik di Sydney nanti.

''Sasaran saya adalah untuk memperbaiki catatan sekarang dan berusaha melayakkan diri ke separuh akhir,'' kata Wai Yen yang merupakan salah seorang perenang negara semasa temasya tersebut.

Perenang berusia 16 tahun itu juga memperbaharui rekod kebangsaan acara 200 meter kuak lentang berusia 11 tahun yang dipegang oleh bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah.

Anak bongsu daripada dua adik-beradik itu mencatat 2:23.46s pada Kejohanan Renang Asia mengatasi rekod lama 2:23.64s.

Selain daripada dua perenang wanita ini, enam lagi perenang lelaki negara turut melepasi masa kelayakan ke temasya tersebut.

Sementara itu, sebanyak 11 rekod baru kejohanan telah dicipta pada hari pertama Kejohanan Akuatik Remaja Malaysia, semalam.

Teo Mui Nyee memperbaharui rekod acara 200 meter gaya bebas bawah 18 tahun yang dicatatkan oleh Ow Ying Jie tahun lalu dengan masa 2:12.50s, mengatasi catatan terdahulu, 2:12.70s.

Bagi kategori bawah 15 tahun, Jessica Wong dan Elise Kho masing-masing memperbaharui rekod acara 100 meter kuak lentang dan 200 meter gaya bebas.

Jassica mencatat 1:16.48s, 0.19 saat lebih pantas daripada masa yang dibuat oleh Chew Lee Sang pada 1994, sementara Elise mencipta 2:16.13s mengatasi rekod Kimberley Yap 2:19.61s yang dicatat dua tahun lalu.

Perenang muda Sarawak, Daniel Bugo pula memperbaharui rekod 100 meter gaya bebas kategori bawah 10 tahun setelah mencatat 1:04.51s, mengatasi masa 1:05.66s yang dicatatkan oleh Timothy Poh.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TGvrjzFd © Utusan Melayu (M) Bhd