Ahad, 26 November 2017

Sarawak terus dominasi terjun

ARKIB : 07/06/2008
 
terjunan emas... gaya sempurna penerjun Sarawak, Elizabeth Jimie pada Sukma XII, semalam.

KUALA TERENGGANU - Sarawak meneruskan penguasaan dalam acara terjun Sukan Malaysia XII apabila meraih emas kelima, semalam menerusi penerjun yang menyertai Sukan Olimpik, Elizabeth Jimie.

Elizabeth yang tidak dicabar untuk mudah mengungguli satu meter papan anjal wanita apabila mengumpul 275.05 mata keseluruhan, diikuti Cheong Jun Hong dari Perak (246.25) dan ketiga Jessly Yeoh dari Pulau Pinang (228.35).

Menurut Elizabeth, dia tidak berdepan saingan dari mana-mana penerjun untuk mengungguli acara kegemarannya itu.

"Kemenangan ini memberi semangat kepada saya menjelang saingan di Olimpik Beijing,'' katanya.

Kelmarin, Sarawak yang dibarisi penerjun bertaraf Olimpik menyapu bersih empat acara akhir terjun di Kompleks Renang Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Batu Buruk.

Begitupun, Sarawak terpaksa melepaskan satu pingat emas kepada Pulau Pinang, semalam iaitu dalam acara tiga meter papan anjal lelaki yang dimenangi Ang Bian Shern yang mengumpul 373.10 mata.

Pingat perak diungguli penerjun Perak, Ahmad Amsyar Azman dengan 360.80 mata diikuti Mohd. Fakhrul Izzat dari Wilayah Persekutuan dengan 353.40 mata.

Sarawak yang tidak menyasarkan emas dalam acara tersebut terpaksa berpuas hati di tempat keempat menerusi Pardika Indoma
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4za4WUmHq

© Utusan Melayu (M) Bhd

Chai Lin bantu Selangor saingi Sarawak

ARKIB : 31/05/2008
 
PENERJUN Sarawak, Gracie Junita melakukan latihan terjun di Kompleks Renang MBKT, Batu Buruk, Terengganu menjelang kejohanan Sukma XII Terengganu 2008, semalam.

KUALA TERENGGANU - Perenang wanita negara yang telah layak ke Olimpik Beijing, Koo Chai Lin mahu membantu pasukannya, Selangor menyaingi Sarawak dalam perebutan pingat di kolam renang pada temasya Sukan Malaysia Ke-12 (Sukma XII) kali ini, lapor SAYED HESHAM IDRIS.

Menurutnya, dia menaruh harapan agar dua pingat emas yang disasarnya dalam acara 400 dan 800 meter gaya bebas pada kejohanan kali ini dapat membantu Selangor memberi cabaran ke atas Sarawak dari segi kutipan pingat keseluruhan.

Katanya, kedua-dua negeri tersebut merupakan kuasa sukan renang dan berharap Selangor akan memenanginya pada saingan kejohanan kali ini.

''Ya saya mahu membantu pasukan negeri saya Selangor mencabar penguasaan Sarawak yang sememangnya dikenali sebagai satu pasukan yang handal dalam sukan renang.

''Untuk itu saya menaruh keyakinan untuk memenangi pingat emas dalam kedua-dua acara yang saya sertai supaya ia dapat menambah pingat emas keseluruhan untuk Selangor," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Kompleks Renang Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu di sini, semalam.

Menurut Olimpian Negara 2007 itu, dia sama sekali tidak memandang rendah kejohanan Sukma walaupun sudah layak ke Olimpik.

Sebaliknya Chai Lin tetap menganggap Sukma ini penting sebagai persediaan sebelum beraksi di Olimpik Beijing, Ogos depan.

Jelasnya, walaupun menjangkakan tidak akan disaingi dalam kedua-dua acara, dia tetap menjalani persediaan rapi.

''Saya menyertai Sukma atas kehendak sendiri, tanpa paksaan daripada sesiapa kerana bagi saya kejohanan ini penting sebagai persediaan menjelang sukan Olimpik.

''Saya menganggap Sukma ini sebagai latihan sebelum ke Beijing dan tetap akan memberikan aksi terbaik bukan sahaja demi pasukan, tetapi untuk mengekalkan prestasi.

''Saya yakin mudah memenangi kedua-dua acara dan berharap rakan sepasukan yang lain juga menang supaya Selangor dapat menguasai sukan renang di Sukma kali ini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zWsBXZWY

© Utusan Melayu (M) Bhd