Sabtu, 21 Oktober 2017

Cai Lin buru masa di Beijing




Oleh YASMIN RAMAN
KHOO CAI LIN tidak mengharapkan pingat pada Sukan Olimpik Beijing.

PERENANG negara, Khoo Cai Lin meng- alih sasarannya selepas menyedari saingan untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik di Beijing, China, Ogos ini memang sukar.

Impiannya hanyalah untuk memperbaiki catatan peribadinya dan jika berjaya merealisasikannya, ia sudah dianggap satu kejayaan.
Advertisement

Sukan Olimpik menampil ramai perenang bertaraf dunia dan sudah pasti misi untuk memburu pingat adalah sesuatu yang sukar.

“Saya mahu menumpukan kepada sasaran untuk memperbaiki catatan peribadi dalam dua acara kegemaran saya iaitu acara 400 dan 800 meter gaya bebas,” kata jaguh renang negara itu.

Menurutnya, dia akan melipatkangandakan usaha bagi mencapai hajat tersebut.

Bagi Cai Lin, kejayaan meraih dua pingat emas pada Sukan SEA XXIV di Korat, Thailand baru-baru ini bukanlah jaminan untuk memenangi pingat pada temasya Sukan Olimpik kerana catatannya itu masih terlalu jauh berbanding catatan yang dilakukan oleh jaguh dunia yang lain.

“Walaupun saya berjaya mencipta rekod baru kebangsaan dalam 800m gaya bebas, ia bukan suatu yang mudah bagi saya.

“Sekarang, saya perlu melipatgandakan usaha bagi mencatat masa yang lebih pantas dalam dua acara kegemaran saya ini,” kata Cai Lin yang memadamkan rekod kebangsaan milik Nurul Huda Abdul- lah pada tahun 1988 dalam dua acara tersebut.

Cai Lin memperbaharui rekod Sukan SEA dalam acara 400m gaya bebas wanita dengan catatan 4 minit 18.20 saat untuk mengatasi rekod perenang Thailand, P. Tachakittiranan (4:19.13 saat) yang dilakukan pada temasya yang sama di Brunei pada 1999.

Dalam acara 800m gaya bebas, dia mencatatkan masa 8:47.80s bagi mengatasi rekod perenang Thailand, Intanporn-Udom R (8:56.88s) pada temasya 1997 di Jakarta.

Bagi memastikan impiannya di Olimpik kelak menjadi kenyataan, Cai Lin kini membatalkan hasratnya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat bagi membolehkannya memberi tumpuan seratus peratus terhadap latihan.

“Saya sudah kembali menjalani latihan sejak dua minggu lalu dan yang pasti tumpuan diberikan kepada usaha mengekalkan tahap kecergasan dan teknik renangan.

“Bagi saya, memang banyak yang diimpikan. Nak menang pingat pada Sukan Olimpik pun ada selain berjaya dalam bidang akademik,” jelasnya.

Mengimbas pembabitan awalnya dalam sukan renang, gadis berusia 20 tahun itu berkata, minatnya terhadap sukan tersebut bermula sejak dia berusia lima tahun apabila doktor menasihatkan kakaknya yang menghidap asma supaya berenang.

“Saya belajar berenang ketika umur saya tiga tahun dan mula berlatih pada usia lima tahun kerana mengikuti kakak kerana disuruh kerap berenang atas nasihat doktor gara-gara penyakit asmanya itu.

“Mulai saat itu, minat saya terhadap sukan renang semakin bertambah dan akhirnya turut mendapat dorongan dari- pada keluarganya,” katanya yang mula serius ketika usianya menjangkau 14 tahun.

Menurut Cai Lin, ibunya, Felicia Tai, 56, adalah orang yang paling banyak memberi dorongan dan sokongan untuknya mencapai kejayaan.

Cai Lin mula melakar kejayaan di pentas Sukan SEA pada tahun 2003 apabila meraih pingat gangsa dalam acara 800m gaya bebas pada temasya di Vietnam itu.

Ia merupakan penampilan pertamanya pada temasya dwitahunan itu.

Selepas itu, bakatnya terus terserlah, lebih-lebih lagi apabila diserapkan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Ketika di SSBJ, dia mendapat bimbi- ngan yang lebih sistematik daripada juru- latih profesional dan yang pasti banyak perubahan dialaminya.

“Di SSBJ, saya mendapat bimbingan jurulatih dari Rusia, Vlad yang banyak memberikan petua untuk beraksi dengan lebih baik,” ujarnya.

Selepas Sukan SEA di Vietnam, Cai Lin sekali lagi disenarai untuk beraksi pada Sukan SEA 2005 di Manila.

Begitupun, penampilan keduanya pada temasya dwitahunan itu tidak membawa sebarang kejayaan apabila dia gagal meraih pingat akibat diserang demam panas.

“Ia merupakan kenangan pahit bagi saya dan saya memang sangat kecewa ketika itu.

“Saya telah menjalani latihan yang cukup serius, tetapi pada saat-saat akhir kena demam.

“Sejak saat itu, saya tanamkan azam untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mengharumkan nama negara dan pada masa yang sama menjaga tahap kesihatan diri,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4w81o6DhV
Hakcipta terpelihara

Jumaat, 20 Oktober 2017

Hajat besar Cai Lin



 
Cai Lin

SELEPAS melayakkan diri pada Sukan Olimpik Ogos ini, perenang muda negara, Khoo Cai Lin kini menanam hajat untuk mencatat masa terpantas peribadi pada temasya berprestij itu.

Pada temasya di Beijing, China Ogos ini, perenang berusia 19 tahun itu akan beraksi dalam acara kegemarannya iaitu 400 dan 800 meter gaya bebas.

“Sebelum ini, saya sudah berusaha sedaya-upaya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik dan saya berjaya berbuat demikian.

“Matlamat saya untuk kali ini pula ialah berusaha bersungguh-sungguh bagi mencatat masa terpantas peribadi untuk kedua-dua acara tersebut,” katanya baru-baru ini.

Terdahulu, Cai Lin telah mempamerkan prestasi yang menakjubkan pada Sukan SEA XXIV apabila memenangi dua pingat emas dalam kedua-dua acara kegemarannya itu.

Cai Lin memperbaharui rekod Sukan SEA dalam acara 400m gaya bebas wanita dengan catatan 4 minit 18.20 saat untuk mengatasi rekod perenang Thailand, P. Tachakittiranan (4:19.13 saat) di Brunei pada edisi 1999.

Dalam acara 800m gaya bebas wanita, dia mencatatkan masa 8:47.80s bagi mengatasi rekod perenang Thailand, Intanporn-Udom R (8:56.88s) pada temasya 1997 di Jakarta.

Lebih membanggakan, Cai Lin turut berjaya mencipta rekod baru kebangsaan dalam 800m gaya bebas, sekali gus memadamkan catatan yang dilakukan Nurul Huda Abdullah pada tahun 1988.

Dalam pada itu, Cai Lin berkata, dia berhasrat melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat, namun terpaksa membatalkan impiannya buat seketika.

“Buat masa ini, saya terpaksa tangguh dulu untuk belajar di sana (Amerika Syarikat) dan tumpukan pada latihan sebagai persiapan Sukan Olimpik di Beijing nanti,” ujarnya

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4w6xswgMn
Hakcipta terpelihara

Yi Ting penyelamat di kolam renang



ARKIB : 11/12/2007

KORAT – Siow Yi Ting menyelamatkan Malaysia daripada kempunan sebarang pingat pada hari keempat renang Sukan SEA Korat dengan menyumbangkan dua perak menerusi 200 meter kuak dada dan 4x100m rampaian wanita di Pusat Akuatik Ulang Tahun Keputeraan Raja Thailand, semalam.

Siswa Universiti Wisconsin, Amerika Syarikat itu tewas kepada perenang Singapura, Nicolette Teo Wei Min dengan catatan 2 minit 32.55s tetapi sudah memadai untuk melepasi had kelayakan B ke Sukan Olimpik Beijing 2008 iaitu 2:33.40s.

Nicolette mencatatkan 2:31.96s untuk menjuarai acara itu manakala gangsa milik Jaclyn Pangilinan dari Filipina yang merakamkan 2:39.16s.

Yi Ting, 21, kemudian bergandingan dengan Chai Sook Fun, Louisa Los Santos dan Leung Chii Lin untuk menduduki tempat kedua dengan catatan 4:19.33s iaitu kekurangan 6.15s dengan rangkaian Singapura - Shana Lim, Nicolett, Tao Li dan Quah Ting Wen yang membaharui rekod Sukan SEA.

Gangsa kepunyaan rangkaian Thailand yang membariskan Wenika K. Chaiwong, Phantira Saraikarn, Natnapa P. Muenwai dan Natthanan J. Krajang yang mencatatkan 4:25.00s.

Perenang lain negara iaitu Clement Leong menduduki tempat tercorot 50m gaya bebas lelaki, begitu juga Yap See Tuan (200m kuak dada lelaki), Heidi Gan dan Ong Ming Xiu (keempat dan keenam 200m gaya bebas wanita) serta Kevin Yeap dan Kevin Lim (kelima dan keenam 1,500m gaya bebas lelaki).

Kata Yi Ting: “Saya terkejut sedikit dengan kekalahan ini walaupun telah bermati-matian untuk menang emas. Saya agak lega mampu layak ke Olimpik bagi acara kedua ini.

“Satu persaingan yang rapat dengan Nicolette tetapi saya kurang berpuas hati dengan masanya yang tidak menghampiri catatan ketika Sukan Asia Doha tahun lalu,” katanya yang memburu satu lagi emas menerusi 400m rampaian perseorangan hari ini sekali gus hadiah hari jadinya ke-22.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4w3HXIPsW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 10 Oktober 2017

Ghairah buru kejayaan



Mohd Khairie Khalid
khairie@bh.com.my
 
KEPUTUSAN untuk terus berbakti kepada negara dan tidak mengundur diri dalam masa terdekat mematangkan penerjun berpengalaman Leong Mun Yee.

Malah Mun Yee kelihatan kembali ghairah memburu lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) melabuhkan tirai secara gilang gemilang Ogos lalu.

Begitupun penerjun dari Ipoh itu sedar dia perlu terus tampil dengan aksi konsisten jika mahu terus bergiat aktif dalam sukan ini, meskipun usianya kini sudah mencecah 32 tahun.

“KL2017 bukan Sukan SEA terakhir buat saya, walaupun sebelum ini saya pernah berkata akan membuat keputusan sama ada untuk terus aktif dalam sukan ini atau tidak.

“Sekarang fikiran saya berubah, saya pun tidak pasti berapa banyak lagi Sukan SEA yang akan disertai. Tapi saya perlu memperbaiki teknik terjunan kerana dalam kejohanan perlu ada lima terjunan, jadi kena sentiasa konsisten,” kata Mun Yee.

Menyentuh mengenai masa depan Malaysia dalam sukan itu, Mun Yee berharap lebih ramai pelapis dapat meningkat selain terjun terus berkembang dan dikenali di seluruh dunia dan negara amnya.

Dalam perkembangan sama, Mun Yee menjelaskan ketika ini sudah memulakan latihan kecergasan dan terjunan sebagai persiapan menjelang Kejohanan Terjun Grand Prix FINA 2017 di Pusat Akuatik Nasional dari 26 hingga 29 Oktober ini.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 6:34 PM