Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Aksi pada
Kejohanan Terjun Siri Dunia pertama di Beijing minggu lalu memberi pengalaman
berharga buat penerjun negara Nur Dhabitah Sabri (gambar).
Mengakui gementar beraksi pada
kejohanan itu buat julung kali, Dhabitah menyatakan ia satu pengalaman yang
berharga buat dirinya kerana sememangnya dia sedar akan saingan sengit yang
diterima.
Dia menamatkan aksi di Beijing
tanpa sebarang pingat ketika Cheong Jun Hoong yang berganding dengan Pandelela
Rinong menghadiahkan perak buat skuad negara dalam acara 10m terjun seirama.
“Belum ada rezeki saya untuk
menang pingat tapi saya akan cuba lagi selepas ini kerana memang saya tahu
untuk meraih pingat di Kejohanan Siri Dunia ini bukan mudah,” katanya.
Pada siri pertama di Beijing
Dhabitah menamatkan saingan bersama Wendy Ng dalam acara 3m terjun seirama di
kedudukan keenam apabila sekadar meraih 268.62 mata.
Mereka tewas kepada pasangan
China Shu Tingmao dan Xu Zhihuan yang meraih emas (319.20), perak milik
pasangan Australia Maddison Keeney-Anabelle Smith (298.68) dan Kristina Ilinykh-Nadezhda
Bazhina dari Russia (294.00) gangsa.
Manakala dalam acara 10m
platform, atlet muda itu gagal melayakkan diri ke pusingan akhir.
Barisan atlet negara selepas
ini akan beraksi pada siri kedua yang bermula Jumaat ini di Guangzhou manakala
siri ketiga di Kazan, Russia dari 31 Mac hingga 2 April dan siri terakhir di
Windsor, Kanada dari 21-23 April.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 8:01 AM