Oleh YASMIN RAMAN
KHOO CAI LIN tidak mengharapkan
pingat pada Sukan Olimpik Beijing.
PERENANG negara, Khoo Cai Lin
meng- alih sasarannya selepas menyedari saingan untuk meraih pingat pada Sukan
Olimpik di Beijing, China, Ogos ini memang sukar.
Impiannya hanyalah untuk
memperbaiki catatan peribadinya dan jika berjaya merealisasikannya, ia sudah
dianggap satu kejayaan.
Advertisement
Sukan Olimpik menampil ramai
perenang bertaraf dunia dan sudah pasti misi untuk memburu pingat adalah
sesuatu yang sukar.
“Saya mahu menumpukan kepada
sasaran untuk memperbaiki catatan peribadi dalam dua acara kegemaran saya iaitu
acara 400 dan 800 meter gaya bebas,” kata jaguh renang negara itu.
Menurutnya, dia akan
melipatkangandakan usaha bagi mencapai hajat tersebut.
Bagi Cai Lin, kejayaan meraih
dua pingat emas pada Sukan SEA XXIV di Korat, Thailand baru-baru ini bukanlah
jaminan untuk memenangi pingat pada temasya Sukan Olimpik kerana catatannya itu
masih terlalu jauh berbanding catatan yang dilakukan oleh jaguh dunia yang
lain.
“Walaupun saya berjaya mencipta
rekod baru kebangsaan dalam 800m gaya bebas, ia bukan suatu yang mudah bagi
saya.
“Sekarang, saya perlu
melipatgandakan usaha bagi mencatat masa yang lebih pantas dalam dua acara
kegemaran saya ini,” kata Cai Lin yang memadamkan rekod kebangsaan milik Nurul
Huda Abdul- lah pada tahun 1988 dalam dua acara tersebut.
Cai Lin memperbaharui rekod
Sukan SEA dalam acara 400m gaya bebas wanita dengan catatan 4 minit 18.20 saat
untuk mengatasi rekod perenang Thailand, P. Tachakittiranan (4:19.13 saat) yang
dilakukan pada temasya yang sama di Brunei pada 1999.
Dalam acara 800m gaya bebas,
dia mencatatkan masa 8:47.80s bagi mengatasi rekod perenang Thailand,
Intanporn-Udom R (8:56.88s) pada temasya 1997 di Jakarta.
Bagi memastikan impiannya di
Olimpik kelak menjadi kenyataan, Cai Lin kini membatalkan hasratnya melanjutkan
pelajaran ke Amerika Syarikat bagi membolehkannya memberi tumpuan seratus
peratus terhadap latihan.
“Saya sudah kembali menjalani
latihan sejak dua minggu lalu dan yang pasti tumpuan diberikan kepada usaha
mengekalkan tahap kecergasan dan teknik renangan.
“Bagi saya, memang banyak yang
diimpikan. Nak menang pingat pada Sukan Olimpik pun ada selain berjaya dalam
bidang akademik,” jelasnya.
Mengimbas pembabitan awalnya
dalam sukan renang, gadis berusia 20 tahun itu berkata, minatnya terhadap sukan
tersebut bermula sejak dia berusia lima tahun apabila doktor menasihatkan
kakaknya yang menghidap asma supaya berenang.
“Saya belajar berenang ketika
umur saya tiga tahun dan mula berlatih pada usia lima tahun kerana mengikuti
kakak kerana disuruh kerap berenang atas nasihat doktor gara-gara penyakit
asmanya itu.
“Mulai saat itu, minat saya
terhadap sukan renang semakin bertambah dan akhirnya turut mendapat dorongan
dari- pada keluarganya,” katanya yang mula serius ketika usianya menjangkau 14
tahun.
Menurut Cai Lin, ibunya,
Felicia Tai, 56, adalah orang yang paling banyak memberi dorongan dan sokongan
untuknya mencapai kejayaan.
Cai Lin mula melakar kejayaan
di pentas Sukan SEA pada tahun 2003 apabila meraih pingat gangsa dalam acara
800m gaya bebas pada temasya di Vietnam itu.
Ia merupakan penampilan
pertamanya pada temasya dwitahunan itu.
Selepas itu, bakatnya terus terserlah,
lebih-lebih lagi apabila diserapkan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).
Ketika di SSBJ, dia mendapat
bimbi- ngan yang lebih sistematik daripada juru- latih profesional dan yang
pasti banyak perubahan dialaminya.
“Di SSBJ, saya mendapat bimbingan
jurulatih dari Rusia, Vlad yang banyak memberikan petua untuk beraksi dengan
lebih baik,” ujarnya.
Selepas Sukan SEA di Vietnam,
Cai Lin sekali lagi disenarai untuk beraksi pada Sukan SEA 2005 di Manila.
Begitupun, penampilan keduanya
pada temasya dwitahunan itu tidak membawa sebarang kejayaan apabila dia gagal
meraih pingat akibat diserang demam panas.
“Ia merupakan kenangan pahit
bagi saya dan saya memang sangat kecewa ketika itu.
“Saya telah menjalani latihan
yang cukup serius, tetapi pada saat-saat akhir kena demam.
“Sejak saat itu, saya tanamkan
azam untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mengharumkan nama negara dan pada
masa yang sama menjaga tahap kesihatan diri,” katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4w81o6DhV
Hakcipta terpelihara